Saturday, February 28, 2009

Biarlah Rahsia



Keheningan malam membangunkan
Kepayahan jiwa meluahkan
Andai kau jujur memahami
Tiadaku menjauhi
Dan kisahku yang masih panjang
Menambahkan berat yang memandang
Lantas kupendam
Kuputuskan biarlah rahsia

Thursday, February 26, 2009

Keliru

KELIRU - Ramli Sarip

Di tepian simpang ini sejenak aku terhenti
Terbayanglah bagaimana pengembaraanku bermula
Kutingalkan segala yang kusayang dan kucinta
Hanya untuk mencari satu identiti diri yang murni

Setelah terjerat dalam dilema aku mengerti
Bagaimana sukarnya mengenal diri sendiri
Hanyutlah aku dalam arus hidup yang tak menentu
Maka timbul kesedaran yang aku selama ini keliru

Kupandukan cahaya-Mu, dari-Mu Ilahi
Aku bersujud mohon doa, mohon rahmat, memohon restu-Mu
Kau senangkanlah, mudahkanlah perjalanan hidupku
Selama ini aku terpedaya dan keliru

Aku Rindu

Aku rindu…
Rindu pada dia yang darahnya mengalir dalam tubuh ini
Rindu pada dia yang penuh kasih sayang
Rindu pada dia yang selama hayatnya tidak jemu menyokong aku untuk meneruskan hidup
Rindu pada dia yang kadang kala melukakan hati ini namun tidak pernah dia biarkan tanpa terubat
Sesungguhnya aku rindu sehingga terbawa ke dalam mimpi
Kuatur langkah ke pusara dia kerana rindu
Lalu kulampiaskan segala rindu dengan doa dan air mata

Abang…
Aku hanya ingin menumpang kasih
Kasih seorang saudara seperti kau pernah hulurkan dulu
Untuk aku melewati hari-hari di bumi Tuhan
Berkongsi erti hidup yang lebih bermakna
Tidak terlintas di hati ini
Untuk merosakkan hidup atau melukakan sesiapa
Namun aku manusia biasa yang lemah dan khilaf
Tapi perlukah aku dihukum berterusan begini
Sehingga aku percaya kasih sayang yang pernah dihulurkan kepada aku
Bagi mereka satu kesilapan dan penyesalan

Abang…
Maafkan aku kerana aku kini manusia yang hilang diri
Maafkan aku kerana tidak mampu jadi sekuat dulu
Berpura-pura bagai tiada apa-apa
Entah kenapa dan untuk siapa
Hidup membilang hari untuk pergi
Rebah seolah tak mampu bangun dan berlari lagi
Tiada lagi senyum dari hati
Berharap pada yang tak peduli
Meminta pada yang tak sudi
Memberi bagai tiada erti

Abang…
Sesungguhnya aku tahu
Tiada kasih sayang yang agung dan sempurna melainkan kasih sayang-Nya
Dia mengetahui dan mendengar setiap keluhan dan permintaan hamba-Nya
Dan Dia tidak akan menguji hamba-Nya melampaui batas kemampuannya
Aku juga tidak pernah lupa pesanmu
Beralah bukan kalah
Menangis bukan kerana lemah
Usah dilawan api dengan api
Berlemah-lembutlah kerana dengan demikian mampu mendekatkan kita kepada orang lain seperti firman Allah dalam ayat pertama Surah Al-Imran:
‘Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.’

Ya Allah…
Ampunkan aku kerana lewat doa-doaku untuk-Mu
Aku pinta Kau bawa aku pergi sebelum masanya
Ampunkan aku kerana berputus asa dengan ujian dan dugaan-Mu
Sesungguhnya Kau Maha Pengampun

Ya Allah…
Luruskanlah hatiku semoga lurus agamaku
Bersihkanlah hatiku semoga ikhlas selalu
Tetapkanlah hatiku semoga dapat menghadapi ujian dan tipu daya
Ya Allah yang menjaga hatiku…
Bersihkanlah hatiku supaya mazmumahku tidak merosakkan agamaku
Dan tidak merosakkan kehidupan orang lain
Kuatkanlah hatiku semoga keyakinanku teguh dan tidak mudah berubah
Ya Allah…
Dekatkan hatiku kepada-Mu
Agar sentiasa bersama-Mu
Supaya aku merasakan ada naungan yang melindungiku
Supaya aku tidak sepi dalam hidupku
Supaya aku malu melanggar suruhan-Mu
Dan aku sentiasa siap siaga menunaikan perintah-Mu
Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati,
Tetapkanlah hatiku supaya teguh imanku
Supaya tiada khianat, tiada hasad dengki
Dan dendam sesama manusia
Wahai Tuhan…
Limpahkanlah ke dalam hatiku ilmu dunia dan akhirat
Yang dapat menyuluh hatiku dan kehidupanku
Supaya zahir dan batinku sentiasa bersyukur
Supaya zahir dan batinku sentiasa taat pada-Mu
Ya Allah…kabulkanlah doaku

Abang…
Rindu membawa aku ke sini
Namun dengan izin-Nya
Rindu membuka hati untuk mengingatkan aku
Tentang kasih sayangmu dan Dia
Hari-hari aku sepi tanpa mereka
Dunia aku kosong tanpa mereka
Tapi aku tetap ada Dia…

Saturday, February 14, 2009

Pesan Walid

Aku tak akan lupakan pesanan Walid. Bertanggungjawab bukan hanya untuk perlakuan yang menyakitkan dan kata-kata yang melukakan tetapi juga untuk perlakuan yang menggembirakan dan kata-kata yang membahagiakan. Aku sering mendengar bahawa sesuatu yang berlaku ketika itu adalah benar pada ketika itu. Walid juga kata begitu. Tapi kata Walid, kita sering lupa untuk bertanggungjawab untuk sesuatu yang menggembirakan dan membahagiakan. Kita sering menghilangkan kebenaran kasih sayang. Suatu masa dahulu, aku sering bercakap tentang kasih sayang. Aku pernah mengatakan kasih sayang itu benar pada sepanjang masa. How I love and care about them and the people out there. Ya…aku seharusnya bertanggungjawab terhadap kasih sayang itu agar ianya tidak hilang sehingga ke akhir hayatku. Dan aku mendoakan agar Tuhan membuka hati mereka untuk turut bertanggungjawab terhadap kasih sayang yang pernah mereka ucapkan kerana kasih sayang itu menggembirakan dan membahagiakan manusia lain.

Monday, February 9, 2009

Kini Aku Mengerti

Aku masih demam bahana dos tempercine phosphate. Bukan setakat demam tapi rasa mual dan penat. Aku akan mengalami keadaan sebegini untuk minggu-minggu seterusnya. Aku perlu sabar dan tak boleh mengalah pada keadaan. Dua hari yang lepas, Abang Aqmar mahu membincangkan tentang masa yang tinggal untuk aku. Demi Tuhan, aku tidak mahu tahu. Sejak dulu lagi, aku tidak pernah mahu tahu. Itu urusan Tuhan. Aku hanya mahu meneruskan hidup tanpa memikirkan sebanyak mana masa yang aku ada. Ini hidup aku. Aku tahu ketika mana aku harus kuat. Aku juga tahu ketika mana aku akan rebah dan tak akan bangun lagi. Ya…seperti yang aku rasakan kini. Bila aku hilang kepercayaan pada harapan. Bila sangga penyokongku mula reput dan menunggu masa untuk patah. Tapi kekuatanku hanya satu – kasih sayang Tuhan. Kini aku makin mengerti, banyak perkara dalam hidup ini sia-sia saja kalau diadukan atau diminta pada manusia. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu meminta pada sesiapa lagi. Sakit dan derita ini biar kusimpan. Aku tidak berharap lagi untuk mendapat telinga yang mahu mendengar atau bahu untuk aku melepaskan tangis.
Minggu ini kali pertama aku tak hadir SGM. Kali kedua kalau dikira meeting kali pertama dulu. Aku benar-benar berharap dapat berada di sana. Tapi dengan keadaan sebegini setiap kali selepas treatment mana mungkin aku memandu ke sana. Jauh di sudut hati, aku berdoa agar ada yg sudi membawa aku ke sana atau setidak-tidaknya bertanya khabar lalu aku boleh meminta bantuan. Entah lah… mungkin aku tak ada fungsi di dalam kumpulan itu lantas kehadiran aku tak diperlukan. Aku pun tertanya-tanya apakah maksud sebenar bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain yang disenaraikan sebagai salah satu kekuatan program ini. Bekerjasama dan tolong-menolong untuk apa atau yang bagaimana?
Aku sebenarnya rindu pada kemesraan dulu. Kemesraan sebuah keluarga besar yang punya abang, kakak dan adik. Yang dapat aku rasakan kini hanyalah sekadar hubungan hambar dalam satu kumpulan yang ada up line, front line, down line dan side line. Bukan ini yang aku impikan lebih-lebih lagi di akhir hidup aku. Aku tidak mahu perhatian apa lagi simpati. Aku cuma mahu sokongan untuk meneruskan hidup. Aku bersyukur kalau ada yang menyokong aku untuk merealisasikan impian aku dan memanjangkan impian aku setelah aku tiada. Tapi ada ketikanya aku memerlukan sokongan dan kekuatan pada waktu ini, pada ketika aku melalui saat-saat sukar. Bagaimana aku mahu terus berlari bila aku rebah dan tak mampu bangun lagi?
Aku tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi. Tuhan lebih tahu kenapa Dia merencanakannya sebegini. Kadang kala aku melihat kekurangan diri aku sendiri sebagai penyebab aku rasa terpinggir dan tak diperlukan. Kekurangan aku yang tak punya impian seperti mereka. Aku hanya melakukannya tanpa sebarang matlamat. Selain itu aku hanya mahu belajar. Bukan sekadar belajar tapi memahami dan mendalami sebelum aku memulakan langkah yang seterusnya. Iltizam dan usahaku selama ini mungkin belum cukup untuk menempatkan aku bersama mereka. Belum cukup untuk mereka memahami kenapa aku ada bersama mereka. Mungkin mereka akan terus mengandaikan, aku bersama mereka sekadar mengisi kesunyian seperti bisik-bisik yang aku dengar.
Perlukah aku berhenti di sini? Aku sedang mempertimbangkannya. April bulan untuk aku memperbaharui keahlian. Mungkin LRC pada penghujung Mac merupakan titik akhir untuk aku? Sejujurnya aku masih dihantui kata-kata itu. Kata-kata yang sering membuatkan aku mahu pergi begitu saja. Tapi aku tahu, aku bukan manusia seburuk itu. Sekiranya aku pergi, aku akan pastikan bukan kerana kata-kata itu. Dari saat ini sehingga tiba bulan April, aku akan terus melakukan apa yang terdaya, belajar apa yang termampu dan bersabar dengan setiap apa yang terjadi. Moga Tuhan mengilhamkan aku jalan yang seterusnya. Dari saat ini juga, aku akan meneruskan segala yang aku usahakan selama ini. Aku tahu, masih ramai manusia memerlukan kasih sayangku. Dan aku perlu mempertimbangkan secara serius untuk bekerja semula.
Sakit ini tidak pernah membuat aku menyalahkan takdir Tuhan. Sakit ini daripada Dia dan Dia juga ada penawarnya. Cuma kadang-kadang aku rasa lelah untuk meneruskan hidup ini bila terjerat dengan rasa sedih. Sedih dengan manusia di sekeliling aku. Tapi aku sedar, hidup ini tanggungjawab aku untuk mencorakkannya dengan izin Dia. Aku hanya mampu berdoa semoga pada ketika aku rebah, ada hati yang terbuka untuk menjadi sangga penyokongku untuk aku bangun dan berlari semula. Tuhan…aku mahu teruskan hidup ini.
Esok, sama seperti hari ini, dengan izin-Nya aku akan bertemu seorang lagi teman untuk berkongsi apa yang aku ada. Dengan izin-Nya juga, hari-hari seterusnya aku akan terus melakukan yang sama, berkongsi dengan teman-temanku walau di pelusuk mana mereka berada. Biarlah aku melakukannya dengan cara dan kudratku sendiri. Aku tidak akan meminta lagi melainkan kepada Dia.