Tuesday, December 15, 2009

Perjalanan...

Kembali ke daerah itu, mengingatkan aku pada kenangan zaman kanak-kanak yang indah. Kenangan mengikut Abah outstation setiap kali cuti sekolah dan taman tasik menjadi tempat persinggahan wajib. Kunjungan kali ini juga mengingatkan aku akan nostalgia lebih dua tahun yang lalu. Ada rindu yang berputik buat seorang ‘adik’. Moga kau bahagia dengan jalan yang dipilih, dik. Doaku sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu. Adakah masih ada waktu untuk aku kembali ke daerah itu? InsyaAllah.

Aku tiba di SJ lewat jam 6 petang dan kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Timur setelah berehat seketika. Penat masih terasa namun ada amanah yang lebih penting untuk ditunaikan. Perjalanan ini seakan suatu déjà vu. Terkenang dia yang telah tiada. Terbersit rasa yang sukar diduga apakah maknanya.

Tiba di destinasi melepasi tengah malam lalu melelapkan mata sekadar memulih tenaga untuk hari esok. Alhamdulillah, berkesempatan juga melihat keindahan alam tatkala sang mentari memunculkan diri. Memandang laut luas mengingatkan aku tentang kapal yang dikemudi dan betapa masih jauh perjalananku sebelum sampai ke pelabuhan.




Program berjalan seperti yang direncana. Bahagia sekali melihat wajah adik-adik yang tidak sabar mengharung pancaroba dunia jua abang-abang dan kakak-kakak yang sudi berkongsi cerita tentang hidup dan kehidupan. Terima kasih semua untuk pengalaman yang indah ini. Meskipun hanya pertemuan singkat namun banyak yang aku pelajari daripada mereka.



Seketika nanti, aku akan meneruskan perjalanan pulang. Hajatnya mahu merehatkan diri di sini barang semalaman lagi namun ada urusan yang menunggu untuk diselesaikan. InsyaAllah, aku akan kembali.
Ada waktunya aku mahu menjadi lebih tabah dan kuat daripada hari ini. Aku mahu lebih ‘hidup’ daripada hari ini. Mampukah aku? Terasa sukarnya namun aku harus terus melangkah. Terkadang aku tewas dengan tuntutan hati dan emosi. Terasing dalam ramai, terkapai-kapai sendiri menongkah arus. Sudahnya, aku biarkan diri ini hanyut. Sejak sekian lama, air mata kuusap dengan jemari sendiri. Rajuk kubiar tanpa dipujuk. Luka kurawat dalam diam. Bukan aku tidak sudi berkongsi segala rasa yang terpendam, bercerita tentang keinginan dan mimpi aku untuk dunia ini. Aku tidak perlu sesiapa pun untuk memahami cukuplah sekadar mendengar. Ya...sekadar mendengar.

Saturday, December 5, 2009

I Turn To You



Di situlah aku temui ketenangan. Di situlah aku kembali beroleh kekuatan yang hilang. Sememangnya aku tahu semuanya ada dalam diriku namun sebagai insan biasa, aku perlukan bahu untuk melepaskan tangis, aku perlukan telinga untuk mendengar keluh kesah yang bersarang di dada.
Sahabat-sahabatku di luar sana terlalu sibuk dengan urusan sendiri dan aku tidak menyalahkah mereka. Aku juga sudah berhenti berharap. Andai aku perlukan bahu dan telinga, ke situlah aku tuju. Dia yang bersemadi di bawah pohon kemboja sentiasa ada untuk aku.
Bukan dia yang mengemudi hidup aku tetapi dia umpama bintang petunjuk di saat aku hilang haluan. Aku hidup bukan kerana dia tetapi dia yang membuka mata aku untuk melihat hidup dan kehidupan.
Pabila terasa terlalu lelah menghadapi segalanya, aku hanya menangis dan menangis sehingga sakit, rajuk dan tangis itu terhenti sendiri. Segalanya bisa terhenti namun perjalanan hidup aku tidak akan terhenti sehingga tiba waktunya.
Duhai diri, tabahlah. Di bahumu ada amanah yang perlu ditunaikan, ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Melangkahlah sehingga tamat perjalananmu.
Tuhan...aku redha akan setiap takdir-Mu. Sesungguhnya, Engkau tidak akan membebankan hamba-Mu dengan dugaan dan ujian yang tidak mampu ditanggungnya.