Saturday, August 22, 2009

Selamat Bertamu, Ramadan….

Sejak dua hari lepas sehinggalah ke saat ini bertalu-talu mesej Salam Ramadan memasuki inbox telefon. Tidak ketinggalan ucapan melalui Facebook dan juga e-mel. Terima kasih untuk semua yang sudi mengirimkan salam dan ucapan tanda ingatan. Semoga Ramadan ini lebih baik daripada yang terdahulu, InsyaAllah.
Kedatangan Ramadan juga sering dinanti-nantikan oleh adik-adik dan anak-anak di panti asuhan. Sepanjang Ramadan mereka mewah dengan acara berbuka puasa dan berbelanja untuk menyambut lebaran. Alhamdulillah, rezeki untuk mereka kerana pada bulan yang penuh barakah ini, banyak tangan yang menghulur.
Bermula esok dan hari-hari pada awal Ramadan ini InsyaAllah akan kulalui di kamar serba putih itu. Bersempana cuti panjang, inilah masa yang terbaik untuk menunaikan tanggungjawab pada diri sendiri yang sekian lama tertangguh. Ramadan bukan penghalang dan dengan izin-Nya, aku berdoa semoga segala-galanya berjalan dengan lancar. Hati sedikit terusik apabila memikirkan akan melaluinya sendirian. Ada sakit yang lebih sakit. Tapi bukankah aku sudah biasa melalui hampir semuanya sendirian? Tambahan pula, aku telah nekad untuk tidak bercerita apa-apa lagi. Merajuk dan berjauh hatikah aku? Kalau ya, pada siapa?
Walau apa pun terjadi, hidup perlu diteruskan. Kata-kata klise yang sering aku ucapkan namun itulah hakikatnya. Impian yang kian nyata itu tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Yang sudah biarkan berlalu. Yang ada kini adalah masa sekarang yang harus diisi, dimanfaat dan dinikmati.
Selamat bertamu, Ramadan...

No comments: