Thursday, February 26, 2009

Aku Rindu

Aku rindu…
Rindu pada dia yang darahnya mengalir dalam tubuh ini
Rindu pada dia yang penuh kasih sayang
Rindu pada dia yang selama hayatnya tidak jemu menyokong aku untuk meneruskan hidup
Rindu pada dia yang kadang kala melukakan hati ini namun tidak pernah dia biarkan tanpa terubat
Sesungguhnya aku rindu sehingga terbawa ke dalam mimpi
Kuatur langkah ke pusara dia kerana rindu
Lalu kulampiaskan segala rindu dengan doa dan air mata

Abang…
Aku hanya ingin menumpang kasih
Kasih seorang saudara seperti kau pernah hulurkan dulu
Untuk aku melewati hari-hari di bumi Tuhan
Berkongsi erti hidup yang lebih bermakna
Tidak terlintas di hati ini
Untuk merosakkan hidup atau melukakan sesiapa
Namun aku manusia biasa yang lemah dan khilaf
Tapi perlukah aku dihukum berterusan begini
Sehingga aku percaya kasih sayang yang pernah dihulurkan kepada aku
Bagi mereka satu kesilapan dan penyesalan

Abang…
Maafkan aku kerana aku kini manusia yang hilang diri
Maafkan aku kerana tidak mampu jadi sekuat dulu
Berpura-pura bagai tiada apa-apa
Entah kenapa dan untuk siapa
Hidup membilang hari untuk pergi
Rebah seolah tak mampu bangun dan berlari lagi
Tiada lagi senyum dari hati
Berharap pada yang tak peduli
Meminta pada yang tak sudi
Memberi bagai tiada erti

Abang…
Sesungguhnya aku tahu
Tiada kasih sayang yang agung dan sempurna melainkan kasih sayang-Nya
Dia mengetahui dan mendengar setiap keluhan dan permintaan hamba-Nya
Dan Dia tidak akan menguji hamba-Nya melampaui batas kemampuannya
Aku juga tidak pernah lupa pesanmu
Beralah bukan kalah
Menangis bukan kerana lemah
Usah dilawan api dengan api
Berlemah-lembutlah kerana dengan demikian mampu mendekatkan kita kepada orang lain seperti firman Allah dalam ayat pertama Surah Al-Imran:
‘Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.’

Ya Allah…
Ampunkan aku kerana lewat doa-doaku untuk-Mu
Aku pinta Kau bawa aku pergi sebelum masanya
Ampunkan aku kerana berputus asa dengan ujian dan dugaan-Mu
Sesungguhnya Kau Maha Pengampun

Ya Allah…
Luruskanlah hatiku semoga lurus agamaku
Bersihkanlah hatiku semoga ikhlas selalu
Tetapkanlah hatiku semoga dapat menghadapi ujian dan tipu daya
Ya Allah yang menjaga hatiku…
Bersihkanlah hatiku supaya mazmumahku tidak merosakkan agamaku
Dan tidak merosakkan kehidupan orang lain
Kuatkanlah hatiku semoga keyakinanku teguh dan tidak mudah berubah
Ya Allah…
Dekatkan hatiku kepada-Mu
Agar sentiasa bersama-Mu
Supaya aku merasakan ada naungan yang melindungiku
Supaya aku tidak sepi dalam hidupku
Supaya aku malu melanggar suruhan-Mu
Dan aku sentiasa siap siaga menunaikan perintah-Mu
Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati,
Tetapkanlah hatiku supaya teguh imanku
Supaya tiada khianat, tiada hasad dengki
Dan dendam sesama manusia
Wahai Tuhan…
Limpahkanlah ke dalam hatiku ilmu dunia dan akhirat
Yang dapat menyuluh hatiku dan kehidupanku
Supaya zahir dan batinku sentiasa bersyukur
Supaya zahir dan batinku sentiasa taat pada-Mu
Ya Allah…kabulkanlah doaku

Abang…
Rindu membawa aku ke sini
Namun dengan izin-Nya
Rindu membuka hati untuk mengingatkan aku
Tentang kasih sayangmu dan Dia
Hari-hari aku sepi tanpa mereka
Dunia aku kosong tanpa mereka
Tapi aku tetap ada Dia…

No comments: