Monday, February 9, 2009

Kini Aku Mengerti

Aku masih demam bahana dos tempercine phosphate. Bukan setakat demam tapi rasa mual dan penat. Aku akan mengalami keadaan sebegini untuk minggu-minggu seterusnya. Aku perlu sabar dan tak boleh mengalah pada keadaan. Dua hari yang lepas, Abang Aqmar mahu membincangkan tentang masa yang tinggal untuk aku. Demi Tuhan, aku tidak mahu tahu. Sejak dulu lagi, aku tidak pernah mahu tahu. Itu urusan Tuhan. Aku hanya mahu meneruskan hidup tanpa memikirkan sebanyak mana masa yang aku ada. Ini hidup aku. Aku tahu ketika mana aku harus kuat. Aku juga tahu ketika mana aku akan rebah dan tak akan bangun lagi. Ya…seperti yang aku rasakan kini. Bila aku hilang kepercayaan pada harapan. Bila sangga penyokongku mula reput dan menunggu masa untuk patah. Tapi kekuatanku hanya satu – kasih sayang Tuhan. Kini aku makin mengerti, banyak perkara dalam hidup ini sia-sia saja kalau diadukan atau diminta pada manusia. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu meminta pada sesiapa lagi. Sakit dan derita ini biar kusimpan. Aku tidak berharap lagi untuk mendapat telinga yang mahu mendengar atau bahu untuk aku melepaskan tangis.
Minggu ini kali pertama aku tak hadir SGM. Kali kedua kalau dikira meeting kali pertama dulu. Aku benar-benar berharap dapat berada di sana. Tapi dengan keadaan sebegini setiap kali selepas treatment mana mungkin aku memandu ke sana. Jauh di sudut hati, aku berdoa agar ada yg sudi membawa aku ke sana atau setidak-tidaknya bertanya khabar lalu aku boleh meminta bantuan. Entah lah… mungkin aku tak ada fungsi di dalam kumpulan itu lantas kehadiran aku tak diperlukan. Aku pun tertanya-tanya apakah maksud sebenar bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain yang disenaraikan sebagai salah satu kekuatan program ini. Bekerjasama dan tolong-menolong untuk apa atau yang bagaimana?
Aku sebenarnya rindu pada kemesraan dulu. Kemesraan sebuah keluarga besar yang punya abang, kakak dan adik. Yang dapat aku rasakan kini hanyalah sekadar hubungan hambar dalam satu kumpulan yang ada up line, front line, down line dan side line. Bukan ini yang aku impikan lebih-lebih lagi di akhir hidup aku. Aku tidak mahu perhatian apa lagi simpati. Aku cuma mahu sokongan untuk meneruskan hidup. Aku bersyukur kalau ada yang menyokong aku untuk merealisasikan impian aku dan memanjangkan impian aku setelah aku tiada. Tapi ada ketikanya aku memerlukan sokongan dan kekuatan pada waktu ini, pada ketika aku melalui saat-saat sukar. Bagaimana aku mahu terus berlari bila aku rebah dan tak mampu bangun lagi?
Aku tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi. Tuhan lebih tahu kenapa Dia merencanakannya sebegini. Kadang kala aku melihat kekurangan diri aku sendiri sebagai penyebab aku rasa terpinggir dan tak diperlukan. Kekurangan aku yang tak punya impian seperti mereka. Aku hanya melakukannya tanpa sebarang matlamat. Selain itu aku hanya mahu belajar. Bukan sekadar belajar tapi memahami dan mendalami sebelum aku memulakan langkah yang seterusnya. Iltizam dan usahaku selama ini mungkin belum cukup untuk menempatkan aku bersama mereka. Belum cukup untuk mereka memahami kenapa aku ada bersama mereka. Mungkin mereka akan terus mengandaikan, aku bersama mereka sekadar mengisi kesunyian seperti bisik-bisik yang aku dengar.
Perlukah aku berhenti di sini? Aku sedang mempertimbangkannya. April bulan untuk aku memperbaharui keahlian. Mungkin LRC pada penghujung Mac merupakan titik akhir untuk aku? Sejujurnya aku masih dihantui kata-kata itu. Kata-kata yang sering membuatkan aku mahu pergi begitu saja. Tapi aku tahu, aku bukan manusia seburuk itu. Sekiranya aku pergi, aku akan pastikan bukan kerana kata-kata itu. Dari saat ini sehingga tiba bulan April, aku akan terus melakukan apa yang terdaya, belajar apa yang termampu dan bersabar dengan setiap apa yang terjadi. Moga Tuhan mengilhamkan aku jalan yang seterusnya. Dari saat ini juga, aku akan meneruskan segala yang aku usahakan selama ini. Aku tahu, masih ramai manusia memerlukan kasih sayangku. Dan aku perlu mempertimbangkan secara serius untuk bekerja semula.
Sakit ini tidak pernah membuat aku menyalahkan takdir Tuhan. Sakit ini daripada Dia dan Dia juga ada penawarnya. Cuma kadang-kadang aku rasa lelah untuk meneruskan hidup ini bila terjerat dengan rasa sedih. Sedih dengan manusia di sekeliling aku. Tapi aku sedar, hidup ini tanggungjawab aku untuk mencorakkannya dengan izin Dia. Aku hanya mampu berdoa semoga pada ketika aku rebah, ada hati yang terbuka untuk menjadi sangga penyokongku untuk aku bangun dan berlari semula. Tuhan…aku mahu teruskan hidup ini.
Esok, sama seperti hari ini, dengan izin-Nya aku akan bertemu seorang lagi teman untuk berkongsi apa yang aku ada. Dengan izin-Nya juga, hari-hari seterusnya aku akan terus melakukan yang sama, berkongsi dengan teman-temanku walau di pelusuk mana mereka berada. Biarlah aku melakukannya dengan cara dan kudratku sendiri. Aku tidak akan meminta lagi melainkan kepada Dia.

No comments: