Sunday, March 8, 2009

I Still Have So Much Love In Me

Aku melalui detik-detik yang agak sukar sejak beberapa minggu yang lepas. Aku bukan saja berdepan dengan pelbagai situasi yang memenatkan dan menjengkelkan tetapi aku juga terpaksa menghentikan treatment buat seketika. Kali ini aku yang membuat keputusan bukan abang dan uncle yang berkot putih itu :-) Aku tahu keputusan aku ini seolah-olah membunuh diri sendiri kerana aku tahu kesannya. Kini, kesannya kian terasa. Dalam perjalanan tadi aku hampir berpatah balik kerana pendarahan dan kepalaku berdenyut keras. Disebabkan tekanan yang aku hadapi sejak beberapa hari ini keadaan aku agak lemah serta kerap mengalami pendarahan. Tetapi aku kuatkan semangat dan serahkan segalanya kepada Dia. Alhamdulillah aku pergi dan pulang dengan selamat. Rancangan untuk meneruskan perjalanan ke utara aku tangguhkan dulu. Mudah-mudahan dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat. Alhamdulillah juga selepas berehat seketika aku rasa agak sihat dan mampu menulis catatan ini.
Minggu lalu, Nisa si remaja yang terlantar kerana pneumonia itu bertanya aku bagaimana perasaannya apabila kita tahu kita tak akan hidup lama. Aku hanya tersenyum sambil mendengar celotehnya bercerita tentang perasaannya dan apa yang dia ingin lakukan kalau itu yang berlaku kepadanya. Aku sendiri tidak pernah terlalu memikirkannya kerana mati itu pasti. Aku belum bersedia untuk mengucapkan salam terakhir. Aku mahu hidup seribu tahun lagi dan aku mahu lakukan apa yang aku inginkan dalam hidup ini. Biar keseorangan namun perjalanan ini perlu diteruskan. Kerana itu juga aku sedaya upaya bangkit semula setiap kali aku jatuh. Ibaratnya, semalam aku sedih dan menangis. Hari ini aku usap air mata semalam, senyum dan teruskan hidup untuk mencapai impian aku.
Ya…aku perlu teruskan hidup. Aku perlu teruskan hidup untuk mencapai impian aku. Hidup memerlukan pengorbanan. Untuk mencapai impian juga memerlukan pengorbanan. Dan bukan sedikit yang aku korbankan untuk hidup dan impian ini. Ada masanya nyawa jadi taruhan seperti hari ini. Itu pilihan aku dan aku bertanggungjawab sepenuhnya atas pilihan itu. Aku berkorban untuk hidup dan impian aku. Orang lain juga berkorban untuk hidup dan impian mereka. Cuma aku sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi. Kalau ada yang bertanya atau memberi aku akan menerima, namun untuk meminta mungkin tidak. Jalan yang aku pilih ini bukan jalan pintas tetapi jalan ini aku pilih kerana aku tidak sanggup lagi dianggap mementingkan diri sendiri.
Aku tahu banyak yang sudah berubah. Terlalu banyak perkara dan kata-kata yang hanya benar pada suatu masa dahulu. Kini, semua itu tiada ertinya lagi. Mungkin hanya aku yang cuba untuk mengekalkan apa yang ada sedang mereka telah melangkah jauh. Aku hanya mahu bertanggungjawab untuk sesuatu yang sentiasa benar. Bertanggungjawab untuk mengekalkan sesuatu yang suatu masa dulu membahagiakan dan menggembirakan. Yang menyedihkan dan yang menyakitkan itu tidak perlu dikenang lagi. Mungkin sampai bila-bila pun mereka tidak akan faham dan menganggap aku mahu terus hidup dalam sejarah silam. Biarlah. Tuhan lebih mengerti.
Selepas hari ini, aku pasti aku akan menangis lagi. Seperti semalam dan hari-hari sebelumnya air mata ini akan mengalir tanpa ada yang mengusapnya. Tidak ada bahu untuk aku melepaskan sebak di dada. Tidak ada pelukan yang memberi kekuatan. Inilah takdir hidup aku dan aku harus menghadapinya. Aku akan cuba untuk tidak mengendahkan perkara-perkara kecil dan remeh yang sering membuatkan aku sedih. Aku akan cuba untuk tidak berjauh hati sekiranya aku tak dipedulikan. Biarlah mereka tidak memahami apa yang aku inginkan dalam hidup namun aku tidak akan berhenti di sini. Aku berdoa agar Dia terus memberi aku kekuatan. Aku tahu sakit ini kian melemahkan aku tetapi aku mahu terus berjuang untuk hidup dan mencapai impian aku. Aku tidak akan bercakap apa-apa lagi kepada sesiapa pun tentang sakit ini. Sakit ini kadang kala menyiksakan namun biarlah aku tanggung sendiri. Yang paling penting, aku mahu sentiasa ada untuk mereka. Aku mahu mengisi sisa hidup ini dengan kasih sayang kerana aku tahu itulah kekuatan aku selama ini. Aku mahu disayangi oleh mereka yang tinggal di langit seperti sabda Rasulullah S.A.W: Kasihilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit.
Someone once told me that he couldn’t stop thinking of how much I had sacrifice for other people, how much I had contribute to others and how much love I had in me. I may not sacrifice and contribute that much but I know and I strongly believe that I still have so much love in me. After all those sacrifices and contributions, all those hurts and sorrows, I’ve decided that I don’t care if I’m no longer in the group or even in their life. I don’t care if I’m not ‘qualified’ to be in the team. But I’m not going anywhere and I’m not going to stop or quit. I'm right here if they need me. Anyway, it's fine if they don’t need me anymore. After all what so good about me that make people wanna keep me? So I chose to do it my way and I’m doing it my way. Am I wrong for doing that way?

Selagi ada hayat ini
Kujunjung kebahagiaanmu
Tapi bila sampai waktuku
Doa dan restuku menjagamu selalu

No comments: