Thursday, March 5, 2009

Patah Tumbuh, Hilang Tak Berganti

Pagi ini aku ziarah abang buat kesekian kalinya. Kebelakangan ini aku lebih selesa bersendirian atau menghabiskan masa di sini selain meluangkan masa dengan anak-anak, adik-adik dan teman-teman yang memerlukan sebelum aku kembali bekerja. Aku rasa lebih tenang berada dengan mereka yang menerima aku seadanya. Mereka yang tidak pernah peduli status diri aku. Mereka tidak pernah merasakan aku akan merampas apa-apa daripada mereka tetapi aku datang dengan kasih sayang untuk mereka. Mereka tidak memandang aku sebagai seorang anak dara tua yang kesepian tetapi aku hadir untuk mengubat kesunyian mereka serta mendengar cerita dan keluh kesah mereka. Mungkin inilah dunia yang ditakdirkan untuk aku.
Selama ini hanya abang yang mengetahui sejarah hidup aku. Sejarah yang mencorakkan hidup aku menjadi manusia yang berdikari, memendam perasaan dan tidak tahu menunjukkan emosi. Hanya abang yang tahu mengapa aku membawa diri jauh dari keluarga aku sendiri. Hanya abang yang tahu semuanya dan dia menyimpannya kukuh sehingga ke akhir hayat. Dia mengembalikan segala yang hilang dalam diri aku. Dia mengajar aku untuk memanfaatkan hidup dengan memberi dan berkongsi kasih sayang. Aku tahu betapa dia sayangkan aku apabila dia mengalirkan air mata kerana aku putus asa dan tidak mahu meneruskan hidup. Dia terlalu banyak memberi sehingga aku tidak mampu membalas.
Setelah abang pergi, hidup aku terasa tiada erti lagi. Namun aku perlu teruskan hidup. Aku tahu tak mungkin aku temui insan lain seperti abang. Pernah suatu ketika, aku merasakan kebahagiaan itu berulang tapi hanya untuk sedetik. Terlalu banyak dugaan terpaksa aku hadapi sekadar untuk menumpang kasih seorang saudara. Akhirnya aku hanya pasrah. Aku sudah tiada kekuatan untuk membongkar sejarah silam hanya untuk membuatkan orang lain faham apa yang pernah dan sedang aku lalui. Cukuplah. Aku sudah terlalu penat sehingga ada masanya aku mahu melelapkan mata dan tak mahu bangun lagi.
Seandainya mereka tahu, dalam hati aku hanya ada kasih dan sayang. Tiada lagi cinta. Dengan keadaan begini aku tidak mengimpikan yang indah-indah. Aku tidak mengharapkan sesiapa untuk menemaniku sehingga akhir hayat. Mungkin bersendirian lebih baik agar tiada sesiapa lagi yang merasakan kehadiran aku hanya menyusahkan.

No comments: